Tonggak baru Johor Darul Ta'zim (JDT), Gabriel Guerra, bertekad membantu skuad itu mengekalkan kegemilangan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini sekalipun enggan dilabel jelmaan Jorge Pereyra Diaz.

Guerra dinaikkan pangkat dari JDT II ke skuad 'abang' JDT, awal bulan ini menerusi perjanjian 'feeder club' yang dipersetujui di antara JDT dan Usahama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Membuat penampilan kedua bersama kelab selatan tanah air itu Selasa lalu, Guerra berjaya menghasilkan gol untuk membantu JDT mara ke pusingan ketiga Piala FA susulan kemenangan 2-0 ke atas Felda United.

"Sasaran saya adalah untuk membantu pasukan ini. Jorge dan saya merupakan dua pemain yang berbeza, saya hanya cuba memberikan yang terbaik," jelasnya.

Mengakui impiannya menjadi kenyataan, Guerra turut meletakkan sasaran peribadi menghasilkan lebih daripada 23 gol yang dilakukannya musim lalu.

"Musim ini saya akan jaringkan lebih daripada musim lalu. Musim ini saya telah menjaringkan enam gol -- lima di JDT II dan satu di JDT -- jadi saya mahu mengatasi rekod musim lepas.

"Pada saya, JDT adalah pasukan terbaik di Malaysia, saya gembira berada di sini," tambahnya.