Dua hari lepas, kecoh sebentar dengan isu dua penyerang Melaka United, Amri Yahyah dan Ilija Spasojevic, yang dikatakan tidak “sebulu” di dalam padang.

Isu itu timbul di Stadium Negeri, Petra Jaya, Sarawak ketika menentang skuad Bujang Senang apabila salah seorang dari penyerang berkenaan enggan menghantar bola kepada gandingan serangannya.

Namun, Spasojevic menyangkal dakwaan kononnya mereka tidak sehaluan.

“Saya dan Amri tiada masalah. Kami tidak boleh menghantar bola sesama sendiri setiap masa.

“Tetapi tiada masalah peribadi antara semua pemain dalam skuad ini. Kami perlu menyokong pasukan ini untuk mencapai kejayaan.”

Amri pula dalam satu kenyataan berkata mereka berdua masih mencari keserasian bagi memantapkan jentera serangan skuad Hang Tuah.

Melaka United akan bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini bagi saingan Liga Super selepas ditangguhkan akibat faktor cuaca bulan lepas.