Edinson Cavani menegaskan bahawa dia bukan penyelamat Paris Saint-Germain (PSG) menjelang pertemuan berdepan Barcelona dalam aksi kalah mati Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain kebangsaan Uruguay itu telah menjadi penyerang utama pasukan selepas perpindahan Zlatan Ibrahimovic ke Manchester United dan telah menjaringkan 31 gol dalam 30 penampilan musim ini.

Menjelang perlawanan awal pagi esok, Cavani telah meledak sembilan gol dalam tujuh perlawanan tetapi penyerang itu menegaskan PSG tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada seorang pemain.

"Saya tidak melihat diri saya sebagai penyelamat pasukan," jelas Cavani.

"Ia merupakan hasil usaha setiap pemain di dalam pasukan. Bola sepak adalah acara berpasukan, setiap pemain memiliki peranan yang penting.

"Saya hanya terus bekerja keras, sama seperti pemain lain."

PSG telah disingkirkan oleh Barcelona sebanyak dua kali daripada UCL dalam tempoh empat musim ini tetapi Cavani berharap mereka mampu mengubah nasib kali ini.

"Kami semua sudah bersedia untuk menang. Apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak. Kami yakin mampu mendapatkan keputusan yang positif."