Jordan Pickford percaya kesedaran bahawa dia bukan lagi pemuda biasa telah membantunya untuk menjadi lebih matang dan mengukuhkan kedudukannya selaku penjaga gol utama England.

Selepas kempen Piala Dunia yang memberangsangkan di Russia tahun lalu, prestasi Pickford bersama kelabnya, Everton, sepanjang musim 2018-19 berada dalam pengawasan.

Selain itu, dia turut dirakamkan terlibat dengan pergaduhan di luar bar di kampung halamannya, Sunderland, April lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu menamatkan musim dengan bergaya menerusi lima perlawanan tanpa bolos daripada tujuh perlawanan terakhir The Toffees dalam Liga Perdana.

Dia meneruskan kecemerlangan itu sebagai penjaga gol utama England ketika meraih tempat ketiga Liga Negara-Negara Eropah dengan menjaringkan gol dan menyelamatkan sepakan penalti buat skuad kendalian Gareth Southgate itu menewaskan Switzerland 6-5 dalam penentuan penalti selepas terikat 0-0 sepanjang waktu sebenar, awal pagi semalam.

Pickford berazam untuk kekal merendah diri walaupun memaparkan perkembangan luar biasa dalam setiap perlawanan.

Dia percaya pemahaman mengenai status dirinya sebagai salah seorang pemain berprofil tinggi England telah membantu perkembangan dirinya.

"Saya berasakan perkara paling utama ialah saya adalah pemuda biasa, namun anda perlu menyedari bahawa dalam sesuatu situasi, anda tidak boleh menjadinya.

"Anda mempelajarinya daripada setiap perkara untuk menjadi seorang lelaki dewasa.

"Jadi, anda perlu melupakannya dan selepas insiden itu, saya mencabar diri sepanjang hujung musim lalu dan tidak bolos dalam banyak perlawanan.

"Ia menunjukkan perwatakan saya," katanya.

Ditanya sama ada perkembangannya itu adalah demi mengisi keperluan tugasan penjaga gol utama Gareth Southgate, Pickford menambah: "Ya, saya rasa anda perlu belajar dan matang dalam setiap perlawanan, sama ada di peringkat kelab atau antarabangsa.

"Saya berasakan ia bermula di hujung kaki dan ia mendatangkan banyak tekanan.

"Namun, saya tidak berasa tertekan.

"Saya hanya mahu diturunkan dan menyerlahkan diri saya untuk memberikan yang terbaik buat negara dan pasukan.

"Saya tidak tertekan dan berasa masih boleh meningkat dan terus meningkat," tambahnya.