Pemain tengah Kelantan, Mohd Noor Hazrul Mustafa, mengakui masih belum membuat sebarang keputusan terhadap masa depannya bersama skuad The Red Warriors, sebaliknya mahu fokus terhadap perlawanan terakhir Liga Super menentang bekas pasukannya, Perak, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

“Saya masih belum membuat sebarang keputusan (masa depan bersama TRW) walaupun kontrak berakhir pada bulan November ini. Banyak perkara yang perlu diberi pertimbangan.

“Biarlah saya fokus kepada perlawanan terakhir dalam saingan Liga Super menentang Perak dulu dan selepas itu bolehlah berfikir tentang masa depan,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman beraksi selama dua musim bersama TRW, Noor Hazrul mengakui sudah semakin serasi dengan corak dan persembahan skuad Kelantan biarpun saingan untuk merebut kesebelasan utama cukup sengit.

“Kalau dibandingkan musim lepas, tahun ini saya lebih banyak diberi peluang turun beraksi membantu TRW mengharungi kempen Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Biarpun sedikit kecewa kerana gagal membantu TRW mara lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia tahun ini, secara peribadi saya berpuas hati dengan sumbangan yang diberikan,”katanya.

Dalam saingan menarik Liga Super menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jumaat lepas, Noor Hazrul yang turun sebagai pemain simpanan berjaya membantu TRW melakar kemenangan 2-1 ke atas The Cops, sekali gus menyalakan impian Kelantan untuk muncul sebagai pasukan keempat terbaik Liga Super.