Pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos, berharap Barcelona akan tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) agar dia boleh tidur nyenyak.

Real menempah slot ke suku akhir selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Napoli di Stadium San Paolo, awal pagi tadi.

Gergasi LaLiga dan pesaing Real, Barca, berdepan penyingkiran dalam pusingan kalah mati selepas ketinggalan 4-0 kepada Paris Saint-Germain (PSG) menjelang pertemuan timbal balik di Nou Camp.

Ramos menyatakan bahawa dia akan bergembira jika skuad bimbingan Luis Enrique itu tersingkir.

"Saya akan menjadi lebih gembira jika Barcelona tewas. Ia akan membantu saya lena dengan lebih senang."

Kapten pasukan Real itu muncul sebagai inspirasi kemenangan Los Blancos, dengan menanduk masuk gol penyamaan perlawanansebelum Dries Mertens menjaringkan gol sendiri hasil daripada tandukannya.

Alvaro Morata mudah menampan masuk gol ketiga pada penghujung perlawanan selepas Cristiano Ronaldo gagal menewaskan penjaga gol, Pepe Reina.

Real dan Barca dilihat bersaing hebat untuk mendapatkan takhta LaLiga, ketinggalan satu mata namun skuad kendalian Zinedine Zidane memiliki kelebihan satu perlawanan.