Kejayaan mengikat Terengganu FC (TFC) 1-1 dalam aksi Liga Super semalam merupakan keputusan positif buat PKNS FC walaupun dibolosi ketika di ambang kemenangan.

Pengendalinya, Datuk K. Rajagobal, berkata skuad Semut Merah itu lebih banyak bertahan dan menunggu untuk melancarkan serangan balas, namun usaha itu tidak berhasil.

Rentak lebih tersusun ditunjukkan PKNS FC selepas rehat dan berjaya mengejutkan tuan rumah menerusi tandukan kemas pemain pertahanan, Nicholas Swirad, untuk berada di depan.

"Selepas mendahului, pemain-pemain cuba mengekalkan disiplin, malangnya TFC menyamakan kedudukan di penghujung permainan.

"Saya fikir kami mungkin mampu menyaingi pasukan lawan sekiranya dapat menurunkan Jafri (Firdaus Chew) dan (Kpah) Sherman," katanya.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu turut mengulas insiden tegang pada minit ke-70 yang menyaksikannya meluru masuk ke dalam padang sebelum dileraikan pegawai pasukan.

Rajagobal mengakui tindakannya itu adalah yang pertama dalam kariernya selepas melihat pemain TFC, Igor Zonjic, cuba menyebabkan situasi menjadi lebih panas.

"Irfan (Bakti) datang kepada saya dan meminta maaf, saya juga mungkin terbawa-bawa dan katakan kepadanya, lupakan sahaja.

"Saya juga meminta maaf kepada pengadil. Ia boleh berlaku dalam bola sepak," tambahnya lagi.