Kesediaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk bertanding jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kongres pemilihan persatuan itu bulan depan disambut baik pemerhati sukan tempatan.

Bagaimanapun, Tunku Ismail wajar diberikan masa untuk melakukan perubahan yang diharapkan jika mendapat mandat untuk menjawat jawatan itu.

Bagi pemerhati sukan, Rizal Hashim, kesediaan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu untuk bertanding adalah satu perkembangan positif.

Selaku individu yang mengubah senario bola sepak di Johor, Tunku Ismail dilihatnya sebagai calon terbaik demi mengubah pengurusan bola sepak negara ke arah lebih profesional.

"Saya rasa ia satu langkah yang wajar dan bijak daripada Tunku Ismail untuk menyahut cabaran dan menerima pencalonan sebagai presiden FAM," katanya.

"Kita mengharapkan ia akan menjadi satu realiti. Selepas membawa satu transformasi yang besar di peringkat negeri di Johor, kita mahu satu lagi transformasi di peringkat kebangsaan."

Sehubungan itu, Rizal berasa Tunku Ismail juga perlu diberikan masa untuk melaksanakan perubahan yang diharapkan.

Tunku Ismail pasti mempunyai perancangan sendiri bagi meningkatkan tahap bola sepak negara.

"Sesiapa sahaja yang menjadi presiden FAM harus ada perancangan dan strategi yang jelas, ke mana hala tuju bola sepak kita, dari sudut teknikal mahupun urus tadbir.

"Apa perubahan yang kita mampu lakukan di peringkat urus setia kerana FAM adalah nadi bola sepak tempatan," tambahnya.

Tunku Ismail adalah antara empat calon yang bakal merebut kerusi panas dalam badan induk itu bagi penggal 2017-2021.

Tiga individu lain adalah Tan Sri Aseh Che Mat, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.