Jurulatih Selangor, P. Maniam, menarik nafas lega dengan tiga mata berharga yang diraih ke atas Perak apabila menang 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

"Apabila bermain dengan 10 orang, kami dipaksa bertahan dan kerap memberikan sepakan percuma di kawasan sendiri kepada lawan.

"Namun, kami masih tidak melepaskan gol, ini berita baik untuk pemain dan pasukan," katanya.

Sebelum sepak mula, kedua-dua pasukan memberi penghormatan dan bertafakur selama seminit bagi memperingati legenda bola sepak negara dan Selangor, Allahyarham Mokhtar Dahari, yang meninggal dunia, 26 tahun yang lalu.

Perak mendominasi dari awal permainan dan beberapa kali menguji benteng pelawat.

Selangor mula mengimbangi penguasaan The Bos Gaurus pada pertengahan babak pertama dan peluang terbaik hadir pada minit ke-24, namun Francis Forkey Doe gagal menyudahkan hantaran Andik Vermansyah.

Red Giants semakin tertekan apabila Andik diarahkan keluar padang pada minit ke-56 berikutan kekasaran ke atas Zaquan Adha Abdul Radzak.

Bagaimanapun, Perak gagal mengambil kesempatan itu dan sebaliknya, Selangor memecah kebuntuan gol pada minit ke-62 dan berjaya mempertahankan kelebihan itu sehingga wisel penamat.

"Satu kesilapan, satu gol dan mereka memenangi perlawanan.

"Secara jujurnya, kami mendominasi permainan.

"Kami mencipta banyak peluang tetapi penjaga gol mereka menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.

"Ada masanya bola sepak sukar untuk ditelan kerana pada pendapat saya, kami patut menang malam ini (tadi)," kata jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.