Xavi sedang mengintai peluang pekerjaan di Barcelona dan melatih bintang dunia Lionel Messi sambil menegaskan bahawa dia sudah bersedia untuk memainkan peranan berbeza di Camp Nou.

Legenda Barca itu telah lama dikaitkan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih dan hampir pasti untuk kembali ke kelab itu sebelum presiden, Joan Laporta, memilih untuk mengekalkan Ronald Koeman buat setahun lagi.

Xavi menandatangani kontrak baru bersama Al Sadd bulan lalu, yang akan mengikat pengendali berusia 41 tahun itu di Qatar sehingga 2023.

Tetapi Xavi, yang pernah memegang rekod penampilan terbanyak bersama Barca sebelum ia dipecahkan Messi musim lalu, mempunyai pandangannya dalam mengambil alih pasukan itu.

"Saya sentiasa berada dalam pasaran," kata Xavi dalam sidang media.

"Kelab itu memilih untuk mengekalkan Koeman dan saya mendoakan yang terbaik buatnya.

"Dalam empat bulan terakhir ini, saya tidak berhubung dengannya (Laporta) atau mana-mana ahli lembaga pengarah daripada kelab itu.

"Saya tidak pasti bila waktunya akan tiba tetapi bagi saya, ia merupakan satu impian untuk kembali ke Barca suatu hari nanti.

"Sejujurnya, saya tidak terburu-buru tetapi saya berharap ia akan menjadi kenyataan.

"Saya faham mungkin ada yang fikir bahawa saya masih belum bersedia tetapi saya mahu menjelaskan bahawa saya sudah bersedia.

"Saya mengenali kelab itu, suasananya... saya juga jurulatih di peringkat profesional, bukan remaja, dan saya rasa saya sudah bersedia.

"Ramai juga yang mengkritik (Pep) Guardiola dan (Zinedine) Zidane sebelum mereka mengambil alih Barca dan Real Madrid.

"Tetapi Koeman adalah jurulatih mereka ketika ini dan saya tidak mahu ada perdebatan yang tidak berkesudahan mengenainya," katanya.

Xavi pernah bermain bersama tonggak senior Barca seperti Messi, Jordi Alba dan Sergio Busquets, di mana dia memenangi lapan trofi LaLiga dan empat kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di samping pencapaian lain.

Mengulas lanjut, dia menambah: "Bagi saya, ia satu kelebihan (untuk melatih mereka). Saya berada dalam situasi sama di Al Sadd di mana saya melatih pemain yang pernah bermain bersama saya dan saya fikir ia banyak membantu kerana anda mengenali mereka.

"Jurulatih mana yang tidak mahu melatih Messi? Siapa tidak mahu memiliki pemain seperti Messi yang boleh melakukan perubahan sesingkat 0.1 saat?

"Secara fizikalnya, dia masih dalam keadaan yang baik. Dia masih yang terbaik. Ia akan menjadi keistimewaan besar untuk melatih Messi," katanya lagi.