Penyerang Wolves, Raul Jimenez, mendedahkan betapa doktor memberitahunya bahawa ia merupakan satu keajaiban apabila dia terselamat daripada pembedahan selepas keretakan tengkorak akibat berlaga kepala pada November lalu.

Jimenez kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sewaktu pasukannya tewas 0-1 kepada Leicester City hujung minggu lalu, lapan bulan selepas insiden berlaga kepala dengan pemain Arsenal, David Luiz.

Selepas perlawanan itu dihentikan berikutan insiden berkenaan, pemain Mexico itu diusung keluar padang dan diberikan bantuan oksigen sebelum dikejarkan ke hospital bagi menjalani pembedahan kecemasan.

Terdapat kebimbangan awal bahawa pemain berusia 30 tahun itu mungkin tidak akan dapat beraksi lagi tetapi dia, dalam satu temu bual bersama media, mendedahkan bahawa kebimbangan sebenarnya adalah lebih besar daripada itu.

"Keretakan tengkorak, tulangnya pecah dan sedikit pendarahan otak. Ia menolak otak saya ke dalam dan disebabkan itu pembedahannya perlu dilakukan segera.

"Ia satu kerja yang baik dilakukan oleh doktor. Keretakan tengkorak itu memerlukan waktu yang lebih panjang untuk pulih daripada apa yang kami jangkakan tetapi ini adalah satu keajaiban untuk saya berada di sini bersama anda semua," katanya.

Jimenez menambah: "Sejak momen pertama, mereka memberitahu saya mengenai apa yang berlaku dan risikonya. Mereka memberitahu saya bahawa ia seperti satu keajaiban di sana. Kerana mereka adalah doktor, mereka perlu memberitahu anda perkara sebenar dan anda perlu menerimanya.

"Adakalanya ia bukanlah apa yang anda mahu dengari tetapi itu adalah tugas mereka."