"Saya ada pendirian, jika pelantikan saya sebagai pengarah teknikal, maka itulah kerja saya." Itu tegas bekas jurulatih Selangor, B Sathianathan, yang tidak menafikan kemunculannya di Sarawak United bagi musim 2021.

Sathianathan turut mengakui ada perancangan buat bekas jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, bersama dengan pasukan yang beraksi dalam M3 itu.

Dia menegaskan peranannya yang pertama kali menggalas tanggungjawab sedemikain bukan dengan niat untuk merampas mana-mana posisi jurulatih sedia ada.

Malah, bekas pengendali kebangsaan itu sedia duduk semeja bagi membincangkan hala tuju Sarawak United yang khabarnya miliki perancangan besar musim depan.

"Itu cara orang lain.

"Kalau Sarawak United suruh saya ambil tempat E. Elavarasan (jurulatih semasa) sekalipun saya tidak akan ambil.

"Itu bukan prinsip saya, dalam masa sama saya akan bantu (pasukan)," katanya dalam temu bual maya bersama wakil Astro Arena, Fina Nasrom, hari ini.

Dalam masa yang sama, Sathianathan juga tidak menolak kehadiran Nidzam selaku jurulatih, secara tidak langsung menafikan gembar-gembur bahawa bekas pemain Selangor itu bakal mengemudi Pahang.

"Dia seorang jurulatih yang cukup istimewa buat saya kerana masih muda dan mempunyai pendekatan kejurulatihan yang baik.

"Nidzam tidak akan ambil tempat jurulatih skuad utama, Elavarasan."