Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, berada dalam dilema apabila penyerang importnya, Rufino Segovia, gagal menunjukkan perkembangan positif daripada kecederaan yang dialami.

Pengendali itu hampir menggugurkan Segovia musim lalu kerana pemain kelahiran Sepanyol itu ditimpa kecederaan tumit yang serius.

Terlepas aksi hampir semusim bersama skuad Gergasi Merah, dia bagaimanapun kekal dalam perancangan Sathianathan bagi menghadapi Liga Super 2020.

Namun, keadaan penyerang itu masih tidak memihak Selangor apabila penggempur berusia 34 tahun itu sah terlepas semua aksi pramusim.

"Tak boleh jika Segovia beraksi cepat tetapi selepas satu atau dua perlawanan, kembali cedera. Jadi, saya mahu kepastian daripada pihak perubatan dan kata putus bahawa dia 100 peratus cergas. Saya boleh tunggu tetapi tak tahulah peminat mahu atau tidak," kata Sathianathan.

Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak mempunyai perancangan untuk menukar penjaring terbanyak Liga Super 2018 itu dengan penyerang lain ketika ini.

"Kami lakukan yang terbaik, membawa masuk kepakaran dari luar negara untuk memulihkannya. Insya-Allah dalam perlawanan keempat atau kelima Liga Super, dia dijangka boleh beraksi," ujar Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon.



Editor: Nafis Abdullah