Pengendali Felda United, B. Sathianathan, mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan 3-0 The Fighters di tangan MISC-MIFA ketika aksi Liga Perdana, 12 Mei lalu, dan sedang mencanang kebangkitan segera pasukannya.

Sathianathan enggan memberi alasan di atas kekalahan pertama Felda dalam saingan Liga Perdana musim ini dan turut mengakui MISC-MIFA beraksi lebih baik ketika itu.

Bekas pengendali kebangsaan itu juga menganggap kekalahan berkenaan sebagai pengajaran buat pasukannya dan mengharapkan kebangkitan segera apabila berdepan UiTM FC pada 21 Mei ini.

"Kami perlu bersedia menghadapi perlawanan akan datang. Kapten pasukan, Shukor Adan, beraksi dalam keadaan tidak berada dalam tahap kesihatan yang terbaik," kata Sathianathan.

Felda kini masih mendahului liga dengan 29 mata selepas 12 perlawanan, sembilan mata di depan pencabar terdekat, Felcra.

Sementara itu, Felda kemungkinan beraksi tanpa kelibat Shukor dan Norfazly Alias yang masih beransur pulih daripada kecederaan masing-masing untuk aksi dengan UiTM.

Bekas pertahanan kebangsaan, Irwan Fadzly Idrus, kini mungkin diturunkan buat kali pertama musim ini berdepan UiTM, bergandingan dengan Thiago Junior di bahagian benteng.

"Kami mengambil mudah perlawanan lepas dan telah dibolosi tiga jaringan. Setiap perancangan tidak menjadi, saya berharap kami tidak mengulangi kesilapan ini," kata Sathianathan lagi.