Solidariti mengekalkan harmoni dalam kalangan jurulatih tempatan menyaksikan B. Sathianathan, diberi mandat untuk terus menerajui Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi penggal 2018 hingga 2022.

Dua pencalonan diterima bagi jawatan presiden sebelum Sathianathan diumum menang tanpa bertanding selepas diberi laluan oleh jurulatih berpengalaman, Reduan Abdullah.

Hanya jawatan timbalan presiden dipertandingkan, dengan Datuk Ong Kim Swee dan Zainal Abidin Hassan kekal untuk mengiringi kepimpinan Sathianathan.

Selain membela nasib jurulatih tempatan, PJBM juga berhasrat melihat lebih 800 ahlinya meluaskan pengaruh di peringkat akar umbi dan badan profesional.

"Kami perlu bukan hanya menjaga persatuan ini tetapi perlu mendidik barisan muda untuk menggantikan sebilangan besar jurulatih tempatan yang bakal bersara tidak lama lagi," kata Sathianathan.

"Jika mengambil contoh daripada di Korea Selatan, kolej atau universiti mengambil khidmat jurulatih profesional untuk membimbing pasukan bola sepak mereka."