Bekas jurulatih skuad negara, B. Sathianathan, percaya usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merekrut pemain yang beraksi di luar negara mampu memberi dimensi berbeza kepada skuad B-19 negara bagi menghadapi Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober depan.

Skuad bimbingan Brad Maloney itu yang merintis kemungkinan layak ke Piala Dunia B-20 2021 di Jakarta, Indonesia bakal mendapat sentuhan Amerika Syarikat.

Ini selepas pengurusnya, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, mengesahkan FAM dalam usaha membawa pulang seorang pemain kelahiran Malaysia yang berpangkalan di negara itu.

Walaupun Maloney sudah mempunyai kumpulan besar pemain berbakat, Sathianathan berasakan pengalaman pemain yang mewakili kelab luar akan memberi kelainan buat skuad B-19 negara.

"Ini akan memberi dimensi lain dalam pasukan berdasarkan pilihan pemain yang ada dalam pasukan.

"Ia akan memberi manfaat kepada pasukan, bukannya individu tertentu," kata jurulatih berusia 62 tahun itu.

Nadi Arena semalam turut mendedahkan skuad muda negara akan menyertai satu kejohanan jemputan di Assam, India, Mac depan selain mengadakan kem latihan pusat di Perancis pada September depan.

Ia bagi persiapan mantap ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 dan usaha badan induk itu turut disambut baik Sathianathan.

"Berdasarkan pengalaman saya dalam Piala Dunia Remaja (1997), pemain yang diberi pendedahan ke Eropah dan Amerika Selatan, maka mereka akan mendapat bola sepak yang berbeza.

"Apabila bertemu pasukan yang lebih kuat, ia khususnya akan menyerlahkan kelemahan-kelemahan sendiri."


Editor: Ammar Hakim