"Pengadil perlu memainkan peranan."

Demikian pesan jurulatih Selangor, B Sathiananthan, merujuk kepada perlawanan Liga Super dengan Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.


Kelibat Leandro Dos Santos sering membawa perwatakan kurang senang dalam kalangan pemain pasukan lawan.

Sejak menyarung jersi The Bos Gaurus tiga tahun lalu, nama pemain tengah dari Brazil itu sering menjadi sebutan ekoran kenakalan dan kebijaksanaannya mencetus provokasi di atas padang.

Ia adalah perkara yang dalam perhatian Sathiananthan ketika ini, namun pengendali itu menuntut keberkesanan pengadil dalam perlawanan kedua Liga Super itu kelak.

"Pemain Selangor sudah mempunyai pengalaman jadi kami tidak perlu memikirkan macam mana perangai Leandro.

"Saya harap pengadil tahu kerana dialah yang akan membuat keputusan," katanya kepada wakil Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom, di Petaling Jaya, malam tadi.

Selain dari Dos Santos, kelibat Guilherme De Paula turut mendapat perhatiannya.

Agenda naturalisasi ketiga menuntut penyerang Perak itu mempamerkan aksi terbaiknya, lantaran itu Sathianathan enggan anak buahnya sekadar menjadi uji kaji De Paula.

"Dia seorang pemain yang memberi dimensi yang baru untuk Perak.

"Dia juga ingin membuktikan bahawa tidak rugi Malaysia mengambilnya sebagai pemain naturalisasi."