Maurizio Sarri mendedahkan dia tidak tahu mengenai urusan perpindahan Christian Pulisic ke Chelsea sehari sebelum ia diumumkan oleh kelab itu.

Semalam, Chelsea mengesahkan bahawa perjanjian bernilai EUR64 juta (RM301 juta) sudah dicapai dengan Borussia Dortmund bagi membawa masuk pemain Amerika Syarikat itu.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Pulisic kembali dipinjamkan ke Dortmund sehingga penghujung musim, sekali gus kelibatnya tidak akan dilihat dalam saingan Liga Perdana Inggeris sehingga permulaan kempen 2019/20.

Pemain berusia 20 tahun itu menyinar di pentas Bundesliga selama beberapa musim dan dikaitkan dengan beberapa kelab Eropah, termasuk Liverpool.

Bagaimanapun, apabila The Blues mengesahkan tandatangannya, Sarri sedikit terkejut walaupun pihak kelab telah mendapatkan pengesahannya tentang pemain itu.

"Kelmarin, saya langsung tidak tahu tentang urusan Pulisic," kata Sarri.

"Pihak kelab bertanya pendapat saya tentang dia sebulan lalu. Pendapat saya positif. Hari ini, saya mendapat tahu perjanjian sudah dicapai tetapi saya langsung tidak tahu mengenainya."