Maurizio Sarri mendakwa dia tidak risau mengenai cemuhan dan ejekan peminat Chelsea terhadapnya, sebaliknya memikirkan tentang keputusan yang dilalui susulan kekalahan 2-0 di tangan Manchester United dalam aksi pusingan kelima Piala FA, awal pagi tadi.

Chelsea dilihat lebih menyinar berbanding United di Stamford Bridge, namun United bangkit untuk mendahului selepas Ander Herrera menanduk masuk bola hantaran Paul Pogba pada minit ke-31.

Pogba menambah gol kedua sebelum rehat apabila dia melakukan tandukan deras bagi menyempurnakan hantaran Marcus Rashford tatkala kebangkitan yang cuba dipamerkan Chelsea tidak mampu mengubah keputusan.

Ia merupakan kekalahan ketiga Chelsea dalam lima aksi terakhir bagi semua kejohanan, sekali gus memberi tekanan buat Sarri yang menjadi sasaran ejekan peminat di laman sendiri.

Namun, Sarri menegaskan dia tidak risau melihat situasi itu, sebaliknya hanya memikirkan tentang keputusan perlawanan.

"Tidak. Saya risau ketika berada dalam divisyen dua di Itali dan bukan sekarang," katanya.

"Saya risau mengenai keputusan dan bukan peminat. Saya faham situasi itu kerana keputusannya tidak bagus.

"Kami tersingkir daripada Piala FA, jadi saya faham reaksi peminat. Namun, saya risau tentang keputusan."

Walaupun keputusan akhir-akhir ini tidak memberangsangkan, hanya sedikit sekali laporan media mengenai ketidakpuasan hati pemain di Chelsea, dengan kebanyakannya mencadangkan Sarri masih mendapat sokongan skuadnya, sesuatu yang dia sendiri turut percaya.

"Saya fikir begitu. Saya tidak pasti tetapi mungkin begitu," ujar Sarri apabila ditanya sama ada pemain menyokongnya.

"Situasi dengan pemain bagus untuk hubungan kami tetapi ia tidak penting. Apa yang penting adalah bermain dan mendapatkan keputusan positif."