Maurizio Sarri menganggap Liverpool sudah bersedia untuk memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah kendalian Jurgen Klopp kerana beliau adalah salah seorang jurulatih terbaik dunia.

Chelsea akan menerima kunjungan Liverpool malam ini dengan rekod enam kemenangan memihak The Reds buat kali pertama dalam era EPL.

Tetapi The Blues memberikan kekalahan pertama Liverpool musim ini dalam kesemua kejohanan selepas bangkit untuk meraih kemenangan 2-1 di Anfield dalam saingan Piala EFL, awal pagi Khamis lalu.

Liverpool kali terakhir tewas di laman sendiri pada Januari lalu tetapi Sarri berasakan The Reds, tanpa sebarang gelaran utama sejak 1990, berada di tahap terbaik untuk memberikan cabaran di bawah kendalian Klopp.

"Ia adalah perlawanan berbeza dalam kejohanan berbeza dengan tahap yang berbeza," kata Sarri. "Saya berasakan mereka boleh meningkatkan lagi keazaman selepas tewas dalam aksi terdahulu.

"Ia akan menjadi satu perlawanan sukar setiap kali berdepan pesaing utama EPL. Mereka telah bekerjasama dengan jurulatih yang sama selama empat musim dan mereka sudah bersedia untuk memenangi EPL," tambahnya.

Pengendali kelahiran Itali itu memuji Klopp, yang berjaya membawa pasukan ke final Piala EFL, Liga Europa (UEL) dan Liga Juara-Juara (UCL) tanpa memenangi sebarang gelaran.

"Klopp adalah salah seorang jurulatih terbaik dunia pada masa ini," kata Sarri.

"Beliau telah berusaha dengan baik bersama pasukan musim lalu, jadi saya bersakan mereka sudah bersedia untuk menang.

"Mungkin gelaran EPL tetapi mereka lebih bersedia untuk merebut sesuatu yang lebih penting."