Maurizio Sarri mengakui Kepa Arrizabalaga masih pemain nombor satu pasukannya selepas dipinggirkan ketika Chelsea menewaskan Tottenham Horspur 2-0 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Sarri menyenaraikan Willy Caballero dalam kesebelasan utama pasukannya selepas Kepa enggan ditukarkan ketika Chelsea tewas dalam final Piala Liga Inggeris (EFL) kepada Manchester City, awal pagi Isnin lalu

Kepa didenda kelab itu nilai gaji seminggu susulan insiden berkenaan walaupun dia dan Sarri sudah menjelaskan perkara itu cuma salah faham.

Sarri berkata dia cuba memberikan mesej buat pemainnya dengan tidak menyenaraikan Kepa bagi menunjukkan Chelsea adalah sebuah pasukan dan bukannya bersifat individu.

Ketika teguh mempertahankan pendiriannya untuk menyenaraikan Caballero, yang tidak berdepan sebarang percubaan lawan, namun kekal yakin ketika bola berada di kawasannya, Sarri menjelaskan Kepa tidak akan direhatkan untuk tempoh yang lama.

Ditanya sama ada Kepa masih lagi pilhan utamanya, pengendali kelahiran Itali itu memberitahu dalam sidang media: "Sudah tentu.

"Saya berasakan ia merupakan keputusan yang tepat (menggugurkan Kepa).

"Kepa melakukan kesalahan yang besar. Dia sudah membayarnya (denda) kepada kelab dan dia sudah membayarnya (kedudukan utamanya) kepada pasukan.

"Jadi, kami perlu menamatkannya sekarang juga, Kepa akan bersama kami mulai esok.

"Saya tidak pasti sama ada dia akan diturunkan dalam perlawanan selepas ini, namun dia akan kembali diturunkan tidak lama lagi.

"Kami tidak boleh membunuhnya. Ketika anda muda, anda mungkin akan melakukan kesilapan.

"Namun, anda perlu memahami dengan baik tentang kesilapan anda.

"Bagi saya, kes ini sudah ditutup," katanya.