BRESCIA 1 JUVENTUS 2

Maurizio Sarri mengakui Juventus perlu memperbaiki pertahanan walaupun juara bertahan Serie A itu naik ke tangga teratas selepas menewaskan Brescia, awal pagi tadi.


Juve bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas pendatang baru, Brescia, tatkala mereka memintas Inter Milan yang mempunyai baki satu perlawanan dalam tangan.

Alredo Donnarumma memberikan Brescia gol awal sebelum jaringan sendiri Jhon Chancellor serta gol hebat Miralem Pjanic memberikan kemenangan buat The Old Lady walaupun Mario Balotelli meraih penampilan pertama buat Brescia.

Juve mencipta kemenangan itu tanpa Cristiano Ronaldo yang diketepikan bagi mengambil langkah berjaga-jaga akibat masalah kesihatan.

Tatkala banyak elemen positif diraih Sarri, bekas pengendali Chelsea itu sedar masih banyak perkara perlu diperbaiki, terutama selepas benteng dibolosi lima kali dalam lima aksi pertama liga.

"Kami meningkatkan hantaran dengan formasi 4-3-1-2," katanya.

"Saya melihat beberapa langkah membolehkan barisan depan mencipta peluang.

"Kami harus meningkatkan pertahanan. Formasi mana yang kami guna? Kami gunakan kedua-duanya. Kami bergelut dengan sayap ofensif ketika ini sambil memiliki pemain tengah berkualiti, jadi kami cuba formasi ini.

"Kemudian, jika sebulan dari sekarang pemain sayap menemui rentak, kami akan mengubah pilihan tetapi pasukan perlu sentiasa bersedia," katanya.

Ditanya mengenai bintang muda yang hadir daripada Ajax, Matthijs De Ligt, Sarri menambah: "Dia meningkat dengan banyak tetapi perlukan masa."