Bos Napoli, Maurizio Sarri, berharap penyerang bintangnya, Dries Mertens, akan cergas untuk bermain menentang Real Madrid, awal pagi esok.

Mertens menjaringkan kedua-dua gol ketika menewaskan AS Roma 2-1 dalam saingan Serie A, Sabtu lalu, menjadikan jumlah golnya 22 dalam semua kejohanan.

Pemain antarabangsa Belgium itu terpaksa digantikan pada 16 minit terakhir di Stadium Olimpico selepas mengadu kesakitan buku lali tetapi Sarri berasakan masalah itu hanya kekejangan otot walaupun dia tidak pasti sehingga kecergasan pemain itu dinilai.

"Mertens dalam keadaan baik -- Saya rasa hanya kekejangan tetapi kami akan menilai dia lebih baik (sebelum perlawanan) bersama-sama dengan seluruh skuad," kata Sarri dalam sidang media pra-perlawanan.

Sarri tidak senang dengan jadual sibuk perlawanan pasukannya, ketika aksi penting pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, yang mereka mendahului 3-1 di laman lawan.

"Saya tidak mahu kontroversi, namun kalendar sudah tentu tidak membantu kami. Saya tidak pernah melihat begitu banyak perlawanan penting berjalan serentak.

"Sudah tentu, daripada sudut pandangan ini, ia boleh menjadi lebih baik. Anda tahu siapa yang membuat Liga Juara-Juara dan beberapa perkara yang tidak diambil kira dalam kalendar untuk melindungi pasukan Itali di Eropah."