Maurizio Sarri bercadang untuk kekal di Napoli selagi dia mampu menaburkan bakti terbaiknya dalam usaha menjulang kejuaraan Serie A.

Pada suatu ketika, usaha Napoli dalam perlumbaan Scudetto terencat, namun mereka kembali memiliki kelebihan dua mata ke atas juara bertahan, Juventus, menerusi kemenangan ke atas Genoa pada hujung minggu lalu.

Laporan mengatakan ini mungkin menjadi musim terakhir Sarri di Napoli berikutan dakwaan Chelsea sedia menebus kontraknya.

Begitupun desas-desus terbaru melaporkan dia semakin hampir memuktamadkan perjanjian baru dengan peneraju Serie A itu.

Justeru, Sarri menjangkakan tiada isu yang akan timbul berhubung kontrak barunya itu dengan mengatakan bahawa perhatian utamanya adalah untuk memastikan dia dapat mencurahkan hasil terbaik kepada peminat Napoli.

"Ia tidak akan menjadi masalah," katanya kepada TvLuna. "Kontrak itu sudah tersedia dan kami mesti memastikan syarat-syarat itu dipersetujui.

"Peminat Napoli sangat hebat dan saya berharap dapat memberi 100 peratus kerana jika saya gagal melakukannya, saya perlu mengudurkan diri. Jika tidak, saya boleh teruskan.

"Saya terhutang budi yang amat besar kepada peminat dan satu-satunya cara saya membayarnya balik adalah dengan memberikan yang terbaik," katanya.

Menurut Sarri lagi, pihaknya tidak pernah berputus asa dalam perebutan Scudetto meskipun percaya Napoli sama sekali tidak mengambil kesempatan ke atas penglibatan Juventus dalam Liga Juara-Juara.

"Saya tidak pernah terlintas untuk meletak jawatan," katanya. "Penyokong dan media sudah terbiasa dengan usaha luar biasa kami. Kami tidak boleh dibelenggu, kami mempunyai matlamat.

"Barisan pemain saya memberi komitmen 101 peratus, lebih daripada yang saya tuntut. Saya tiba di Naples dan saya dapati pasukan ini secocok buat saya.

"Kami akan melakukan apa yang terdaya, sama ada itu sudah memadai atau tidak, kita tidak tahu.

"Secara teorinya, Liga Juara-Juara tidak sepatutnya dijadikan perbezaan sekiranya sesebuah pasukan itu sudah terbiasa dengan tekanan tetapi setiap musim tidak sama," ujarnya lagi.