ATLETICO MADRID 2 JUVENTUS 2

Maurizio Sarri menerima hakikat bahawa Juventus harus berusaha untuk meningkatkan aspek mempertahankan gerakan bola mati selepas gagal mengekalkan pendahuluan dua gol untuk seri 2-2 dengan Atletico Madrid dalam pertemuan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Sentuhan pertama Sarri dalam Kumpulan D di bersama juara Serie A berkenaan sepatutnya berakhir dengan tiga mata apabila menghasilkan jaringan melalui rembatan deras Juan Cuadrado, disusuli tandukan gol Blaise Matuidi.

Atletico, bagaimanapun, mula mengorak langkah untuk membalas dendam berikutan disingkirkan lawan yang sama dalam kempen lalu, dengan mempamerkan kebangkitan dalam tempoh 20 minit terakhir aksi di Wanda Metropolitano itu.

Stefan Savic menyempurnakan satu gerakan daripada sepakan percuma untuk merapatkan jurang sebelum Hector Herrera menyumbat gol penyamaan menerusi sepakan sudut Kieran Trippier pada minit ke-90.

Cristiano Ronaldo, yang hatriknya menyingkirkan Atleti musim lalu, hampir menghadiahkan kemenangan buat Juve dalam masa kecederaan, namun sepakannya itu meliar tetapi Sarri kini tidak ragu-ragu lagi mengenai keperluan memberikan tumpuan khusus dalam sesi latihan.

"Saya rasa kami bermain dengan baik tetapi kami terpaksa menelan kepahitan memandangkan kami mendahului perlawanan," katanya.

"Kami perlu memberi lebih perhatian dan tumpuan kepada aspek bola mati.

"Saya memilih untuk menurunkan Cuadrado kerana saya fikir dia boleh membuka ruang dengan menggunakan kepantasannya.

"Saya fikir kami bermain dengan baik dan akhirnya saya dapat mengenal pasti perkara yang perlu saya tumpukan dalam latihan."