Lambakan pemain berkualiti dalam skuad Selangor musim ini menyaksikan pemain tengah, K. Sarkunan, berada dalam perancangan untuk dipinjamkan ke pasukan lain.

Bagaimanapun, kesetiaan anak jati Selangor itu tidak pernah luntur untuk merebut tempatnya dan memasang impian untuk bergelar legenda pasukan Gergasi Merah itu suatu hari nanti.

Sarkunan mempunyai hubungan istimewa dengan pasukan Selangor sejak kecil lagi dan pernah menyarung lilitan lengan ketika khidmatnya diperlukan.

Namun, kehadiran pemain import, Oliver Buff, dan tonggak berpengaruh, Brendan Gan, di bahagian tengah menyaksikan dia berdepan misi sukar untuk mengisi kesebelasan utama musim ini.

"Ketika ini, semua pasukan memang sedang mencari pemain. Tahun ini memang mencabar kerana ramai ramai pemain kebangsaan ada di sini dan pemain import juga ada, jadi ia memang mencabar," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.

"Saya orang Selangor, saya memang hendak bermain untuk Selangor, saya mahu menjadi pemain ikonik dan legenda di Selangor.

"Kerana saya sudah lama berada dalam pasukan Selangor, jadi saya mengambilnya sebagai sesuatu yang positif untuk saya bersaing dengan pemain kebangsaan yang ada di sini.

"Saya mahu melakukan yang terbaik musim ini dan mahu mendapat panggilan kebangsaan," katanya.