Sarawak United tidak dapat mengeluarkan kekuatan sebenar dalam perlawanan terakhir Liga Perdana menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II) Selasa ini, kata ketua jurulatih kelab Borneo itu, E. Elavarasan.

Sarawak United kini berada di tangga kedua Liga Perdana dengan 37 mata dan ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Negeri Sembilan.

Bagi Elavarasan, perlawanan di Stadium Larkin itu amat penting buat pasukannya dalam perebutan kejuaraan musim ini tetapi menyedari barisan pemainnya sedang berada dalam keadaan tempang.

"Badrul (Affendi) masih dalam pemulihan kerana luka di atas matanya (ketika bertemu Negeri Sembilan) agak dalam dan memerlukan masa untuk pulih, jadi kami mungkin hilang pilihan utama di bahagian pertahanan tengah," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"Sharbinee (Allawee, penjaga gol) juga tidak dapat bermain dalam perlawanan itu (kerana kad merah), jadi kami sedikit lemah dalam perlawanan terakhir ini."

Tambah Elavarasan, selepas melalui perlawanan panas menentang Negeri Sembilan minggu lalu -- Sarawak United tewas tipis 0-1 -- motivasi pemainnya agak terganggu tetapi yakin masih ada peluang untuk pasukannya bergelar juara dengan syarat perlu menewaskan JDT II dalam perlawanan terakhir itu.

"Sudah pasti motivasi mereka agak merudum kerana kami menjangkakan dapat melakukan yang terbaik dalam perlawanan itu.

"Kami tewas dan memerlukan masa untuk memulihkan diri tetapi bola sepak memang seperti ini, adakala kita menang dan adakala kita kalah tetapi kita perlu bangkit dan melupakannya," tambahnya.


Keputusan Liga Perdana
Kuching City FC 0-2 Terengganu FC II