Kekalahan besar kepada UKM FC dengan keputusan 0-4 dalam aksi kelima Liga Perdana 2019 menyaksikan pengendali Sarawak, Mohamad Farhan Abdullah, dan penolong jurulatih, David Usop, direhatkan serta-merta.

Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut Sarawak dengan hanya sekali melakar kemenangan, iaitu ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan kedua bulan lalu.

Justeru, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) mengambil langkah drastik dengan merehatkan dua jurulatih berkenaan dalam satu kenyataan media sebaik berakhir perlawanan menentang UKM, malam tadi.

Farhan yang dilantik sejak Januari lalu mengakui masih belum puas untuk membentuk pasukan terbaik musim ini, namun memahami pihak persatuan menginginkan perubahan yang lebih cemerlang buat skuad Ngap Sayot walaupun tanpa khidmatnya.

"Saya sudah dimaklumkan mengenai kedudukan terbaru dan sebagai jurulatih, saya menerimanya dengan hati terbuka dan menyifatkannya sebagai asam garam dalam bola sepak.

"Saya sedar sebaik dilantik, saya perlu menghadapi risiko ini," kata Farhan.

David yang pernah menggalas tugas ketua jurulatih pada 2016 pula bersikap terbuka apabila turut terkena tempias ekoran prestasi hambar skuad bimbingannya yang menghuni tangga ke-10 selepas lima perlawanan.

"Segala keputusan terletak di tangan pihak pengurusan.

"Tugas ini amat berisiko dan saya menerima tindakan ini dengan hati terbuka," kata David.