Pemain Sarawak, Hairol Mokthar, berkata keputusan seri 1-1 berdepan Terengganu dalam aksi pertama suku akhir Piala FA, malam tadi, menyuntik keyakinan rakan sepasukan untuk tampil lebih ampuh dalam saingan Liga Super.

Dia diberi tanggungjawab selaku kapten bagi pertemuan di Kuala Terengganu selepas Ronny Harun terpaksa disisihkan akibat kecederaan.

Meskipun perlawanan dikuasai sepenuhnya oleh Terengganu, namun Sarawak lebih bernasib baik untuk mendapat jaringan penting, sekaligus mempunyai sedikit kelebihan menjelang aksi timbal balik nanti.

Lantas, Hairol mahu keputusan ini dijadikan sebagai batu loncatan untuk tampil dengan corak permainan lebih baik apabila berdepan Selangor dalam aksi Liga Super di Selayang, Sabtu ini.

"Kami memang berharap ada jaringan. Saya mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukan kerana berjaya meledak gol di tempat lawan.

"Walaupun seri, sebagai ketua pasukan, saya berpuas hati dengan keputusan ini," jelas Hairol.

Sementara itu, pemain Terengganu, Ferris Danial Mat Nasir, mengganggap tuah tidak memihak pasukannya selepas gagal untuk menambah jaringan meskipun menguasai perlawanan.

Kelibat Ferris banyak mengucar-kacirkan kawasan tengah dan juga benteng Sarawak tetapi peluang yang dicipta gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Dia, bagaimanapun, mengganggap masih ada perkara positif yang dapat dibawa daripada pertemuan ini bagi menghadapi aksi seterusnya dalam saingan Liga Perdana menentang Sabah.

"Inilah bola sepak, apa yang berlaku ini perkara biasa. Mungkin terlalu lama rehat memberi sedikit kesan terhadap keserasian kami," kata Ferris.