PORTUGAL 2 TUNISIA 2

Jurulatih Portugal, Fernando Santos, berasakan pasukannya melepaskan gol yang "tidak normal" apabila mereka dibolosi dua gol ketika seri 2-2 dengan Tunisia dalam perlawanan persahabatan di Braga, awal hari ini.


Juara Euro 2016 itu, yang beraksi tanpa Cristiano Ronaldo, mendahului perlawanan hasil jaringan Andre Silva dan Joao Mario dalam separuh masa pertama.

Anice Badri dan Fakhreddine Ben Youssef masing-masing memanfaatkan peluang untuk membawa Tunisia menyamakan kedudukan 2-2, sekali gus menimbulkan kekecewaan buat Santos.

"Keputusannya tidak menentu, saya mahu menang," kata Santos kepada pemberita. "Seri bukan keputusan yang baik.

"Kami datang untuk memenangi perlawanan, kami bermain dengan baik, pantas dan mendominasi permainan.

"Ketika kedudukan 2-0, kami mula membuat kesilapan secara kolektif. Untuk gol kedua, kami membiarkan lawan menjaringkan gol. Kami perlu menangani gol pertama dengan cara yang berbeza.

"Pasukan ini melepaskan gol dengan cara yang tidak normal, kami perlu memikirkannya," katanya lagi.