Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, tidak akan teragak-agak untuk menurunkan pemain sensasi, Joao Felix, tampil beraksi dalam saingan Akhir Liga Negara-Negara.

Pemain berusia 19 tahun itu menjadi perbualan utama yang tersenarai dalam skuad 23 pemain Santos untuk berdepan Switzerland.

Joao Felix, yang menikmati musim pertama bersama Benfica, meledak 15 kali selepas membuat 26 penampilan bersama pasukan.

Sebilangan besar kelab utama Eropah berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Santos yakin Felix mampu menyerlah apabila diturunkan berdepan Switzerland dalam perlawanan separuh akhir di Estadio do Dragao.

"Dia tidak akan dipanggil jika belum bersedia. Tanpa mengira umur, kami menilai persembahannya dengan sebaik mungkin.

"Terdapat sebab dia dipanggil dan dia merupakan seorang pemain yang berkualiti," ujarnya.

Santos turut mencadangkan Portugal tidak berhenti dalam menghasilkan pemain berbakat seperti Bernardo Silva, Bruno Fernandes dan Joao Felix.

"Portugal sentiasa melahirkan pemain berbakat. Mereka yang membarisi skuad utama adalah bukti bahawa Portugal tidak pernah berhenti melahirkan pemain berbakat."