Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, mempertahankan tindakannya memanggil Rui Patricio menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia bulan ini.

Penjaga gol Wolves itu mengalami hentakan di kepalaya selepas berlaga dengan rakan sepasukannya, Conor Coady, ketika tewas o-1 kepada Liverpool awal pagi semalam.

Dia kemudian diusung keluar selepas perlawanan itu dihentikan tetapi pengurus Wolves, Nuno Esprito Santo, mengesahkan selepas perlawanan itu bahawa Patricio tidak mengalami kecederaan serius.

Pemain berusia 33 tahun itu kemudian dinamakan sebagai sebahagian daripada skuad Portugal bagi perlawanan menentang Azerbaijan, Serbia dan Luxembourg bulan ini.

Santos berkata kepada wartawan: "Dia menerima panggilan itu kerana, sejak momen itu berlaku, kami mencari segala-galanya mengenai apa yang berlaku.

"Kami sudah bercakap dengannya dan bahagian perubatan. Dia stabil. Dia mempunyai protokol untuk diikuti dan mereka berkata tiada sebarang halangan untuknya."

Selain bintang utama seperti Cristiano Ronaldo, Joao Felix, Bernardo Silva, Bruno Fernandes dan Ruben Dias, Santos turut memanggil semula penyerang, Andre Silva, dan pertahanan sayap Arsenal, Cedric Soares.

Terdapat juga panggilan pertama buat pertahanan sayap Spoting CP, Nuno Mandes, dan rakan sepasukannya, Joao Palhinha.

Senarai pemain Portugal:
Anthony Lopes (Lyon), Rui Patricio (Wolves), Rui Silva (Granada), Joao Cancelo (Manchester City), Cedric Soares (Arsenal), Domingos Duarte (Granada), Pepe (Porto), Jose Fonte (Lille), Ruben Dias (Manchester City), Raphael Guerreiro (Borussia Dortmund), Nuno Mendes (Sporting CP), Danilo Pereira (Paris Saint-Germain), Joao Palhinha (Sporting CP), Ruben Neves (Wolves), Joao Moutinho (Wolves), Bruno Fernandes (Manchester United), Renato Sanches (Lille), Sergio Oliveira (Porto), Bernardo Silva (Manchester City), Pedro Neto (Wolves), Diogo Jota (Liverpool), Cristiano Ronaldo (Juventus), Rafa Silva (Benfica), Joao Felix (Atletico Madrid), Andre Silva (Eintracht Frankfurt).