Fernando Santos menolak cadangan bahawa Portugal tidak layak untuk bergelar juara Eropah kerana kurang mencipta kemenangan dalam tempoh 90 minit dalam saingan Euro 2016.

Skuad kendalian Santos itu melakar tiga keputusan seri ketika berdepan Iceland, Austria dan Hungary dalam saingan peringkat kumpulan sebelum menewaskan Croatia dalam masa tambahan dan mara ke separuh akhir apabila meraih kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti ketika bertemu Poland.

Jaringan Nani dan Cristiano Ronaldo memastikan penyingkiran Wales dengan keputusan 2-0 sebelum seri tanpa jaringan ketika berdepan Perancis sehingga tamat 90 minit dan pemain gantian, Eder, muncul sebagai wira Portugal dalam masa tambahan.

Perlawanan demi perlawanan, Portugal semakin menemui rentak dalam saingan Piala Konfederasi, mereka melakar kemenangan ke atas Russia untuk menungguli Kumpulan A dengan empat mata.

"Portugal sentiasa cuba untuk bermain dengan baik. Jika tidak, mereka tidak akan bergelar juara Eropah," kata Santos.

"Saya melihat hanya sekali Portugal meraih kemenangan dalam tempoh 90 minit ketika saingan Euro 2016. Tiada pasukan yang menjuarai kejuaraan Eropah dengan memenangi empat perlawanan.

"Dalam pusingan penyingkiran, kami telah berjaya meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Perlawanan ditentukan dalam tempoh 120 minit. Ia merupakan saingan kalah mati.

"Portugal telah membuat persiapan yang rapi untuk beraksi dalam tiga perlawanan yang berlanjutan ke masa tambahan dan memenanginya."

Portugal dilihat sebagai pasukan pilihan untuk melakar dua kemenangan berturut-turut malam ini berdepan New Zealand.

"New Zealand merupakan antara pasukan yang sering memberikan yang terbaik, mereka memiliki pemain-pemain yang berkualiti yang bermain di England. Mereka juga memiliki jurulatih yang berpengalaman.

"Kami perlu berwaspada ketika bertemu New Zealand kerana mereka mampu mencipta kejutan."