Pengurus skuad senior Sabah, Datuk Juil Nuatim, menganggap pasukan itu kini berada di landasan yang baik sebagai pencabar utama saingan Kumpulan D, Piala Malaysia.

Katanya, keputusan seri 1-1 dengan Pahang di gelanggang lawan serta menang 1-0 keatas PKNP FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, tempoh hari merupakan permulaan yang baik buat pasukan itu.

"Apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah meneruskan rentak baik ini dan saya yakin kami mampu melakukannya dalam empat baki perlawanan, termasuk menentang Selangor di Stadium Likas, Sabtu ini," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, semalam.

Juil berkata keyakinan pasukan kini semakin meningkat selepas dua perlawanan itu tetapi beliau mengingatkan agar pemain tidak terbawa-bawa sehingga menjejaskan prestasi.

"Saya harap prestasi baik dalam dua perlawanan itu dijadikan motivasi dan pembakar semangat untuk pemain lebih bekerja keras kerana cabaran pasti akan lebih sukar selepas ini.

"Kami juga tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan, termasuk Selangor, walaupun mereka tewas dalam dua aksi awal mereka sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun, Juil yakin dengan percaturan pengendali pasukan, Jelius Ating, dalam perlawanan itu nanti dan berharap penyokong akan hadir beramai-beramai ke Stadium Likas bagi memberikan sokongan kepada Sang Badak.

Selepas dua perlawanan, Sabah kini berada di tangga kedua tetapi berkongsi jumlah kutipan empat mata dengan Pahang di tangga teratas manakala PKNP di tangga ketiga dengan tiga mata dan Selangor di tempat tercorot tanpa sebarang mata.