SABAH 4 MOF FC 0

Sang Badak bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum membenam MOF FC 4-2 dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.


Sabah tidak perlu menunggu lama untuk memperolehi gol pertama apabila Rahman Shah Marajeh menanduk baik bola hantaran Sabri Sahar pada minit ke-5.

Bagaimanapun, Mohd Farizal Rozali memadamkan kelebihan Sabah menerusi gol penyamaan Mohd Farizal Rozali yang melakukan penyudah baik pada minit ke-9 selepas hantaran Mohd Akmal Mohd Noor.

Pelawat kemudian mengejutkan tuan rumah apabila mendapat gol kedua pada minit ke-14 hasil sepakan penalti Aikal Aiman Azlan.

Penalti itu diberikan selepas pertahanan Sabah, Rawilson Batuil, yang mengasari Mohd Farizal di dalam kotak penalti.

Tuan rumah kemudian berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-22 juga menerusi Rahman yang melakukan penyudah baik selepas menerima hantaran daripada Ummareng Bacok bagi menjadikan kedudukan 2-2.

Ketika babak pertama hampir tamat, Sofiane Choubani kembali menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol ketiga pada minit ke-45 selepas melakukan cubaan susulan di dalam kotak penalti.

Dalam babak kedua, rentak permainan kedua-dua pasukan sedikit perlahan dengan hanya beberapa cubaan ke arah pintu gol.

Ummareng Bacok kemudian melengkapkan kemenangan Sabah apabila menyudahkan hantaran Leopold pada minit ke-86 dan kedudukan 4-2.

Beraksi di hadapan kira-kira 800 penyokong, Sabah memiliki beberapa lagi peluang untuk menambah jaringan namun setiap peluang dimiliki itu gagal diterjemah kepada gol, sama ada tersasar atau diselamatkan penjaga gol pelawat.

Kedudukan 4-2 itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman, meniupkan wisel penamat.