Leroy Sane tampak gembira di Manchester City dan tidak akan menggesa agar perpindahan ke Bayern Munich dilengkapkan, kata rakan senegaranya, Julian Draxler.

Juara Bundesliga, Bayern, mahu mendapatkan Sane selaku pemain sayap baru setelah Franck Ribery dan Arjen Robben meninggalkan pasukan.

Pengerusi kelab gergasi Jerman itu, Karl-Heinz Rummenigge, mencadangkan agar pemain berusia 23 tahun itu menjelaskan keinginannya untuk meninggalkan Etihad sebelum bidaan dibuat.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Draxler, beraksi bersama Sane sewaktu mewakili Schalke dan tidak berfikir bahawa pemain sayap itu memberi masalah buat pengendali City, Pep Guardiola.

"Saya tidak rasa dia akan memaksa perpindahan itu tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku," ujar Draxler.

"Saya tidak bertanya secara peribadi kepadanya sama ada dia ingin berpindah atau tidak tetapi terdapat perkara yang seperti satu jenaka. Saya hanya berkata mengenai moto Bayern, Mia San Mia, kepadanya sejak beberapa hari lalu.

"Apabila media berbincang mengenai perpindahan yang mungkin berlaku buat pemain hebat sepertinya, anda akan mula pelik.

"Namun, anda perlu membiarkannya bersendiri dan tidak bertanya secara peribadi mengenai apa tindakan selepas ini. Ia melampau.

"Saya rasa dia akan banyak membantu Bayern, begitu juga pasukan lain di dunia. Saya ingin tahu apa yang bakal berlaku selepas ini tetapi dia tampak gembira di City dan tidak perlu berpindah."

Draxler dan Sane bakal kembali beraksi bersama buat skuad kebangsaan apabila mereka menghadapi saingan kelayakan Euro 2020 menentang Belarus dan Estonia.