Leroy Sane berjanji untuk bangkit semula selepas membincangkan mengenai kekecewaannya apabila tidak tersenarai dalam skuad 23 pemain Jerman ke Piala Dunia.

Pemain sayap Manchester City itu merupakan satu kejutan yang besar apabila tidak bersama skuad kendalian Joachim Low ke Russia.

Sane menyedari terlepas kejohanan itu merupakan satu tamparan yang hebat buatnya selepas mempamerkan prestasi cemerlang buat City dengan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala EFL.

Tetapi pemain berusia 22 tahun itu memiliki perancangan untuk membuktikan kebolehan sebenarnya dan berharap Jerman mampu mempertahankan Piala Dunia di Russia.

"Terima kasih kepada semua yang memberikan semangat kepada saya," ujar Sane menerusi laman twitternya.

"Ternyata saya kecewa kerana tidak akan beraksi dalam Piala Dunia tetapi saya perlu menerima keputusan ini dan berjanji untuk memberikan yang terbaik pada masa akan datang.

"Tiada apa yang saya harapkan tetapi kejayaan buat Jerman di Russia nanti."

Penjaga gol Bayer Leverkusen, Bernd Leno, pertahanan, Jonathan Tah dan penyerang Freiburg, Nils Petersen, turut tidak terpilih ke Russia.

Jerman akan berdepan Arab Saudi bagi aksi persahabatan terakhir pada Jumaat ini sebelum menghadapi Mexico, Sweden dan Korea Selatan dalam Kumpulan F.