Leroy Sane berkata ia adalah satu "perasaan luar biasa" untuk dimahkotakan sebagai juara Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City walaupun dia lebih gemar pasukannya meraih gelaran itu dalam keadaan berbeza.

Manchester United menafikan peluang City untuk memenangi liga dalam 'derby' hujung minggu lalu dengan kebangkitan semula di Stadium Etihad tetapi skuad Jose Mourinho itu mengalami kekalahan 1-0 kepada pasukan tercorot, West Brom, semalam.

Oleh itu, City mendahului 16 mata di puncak carta dengan United hanya mempunyai lima perlawanan, sekali gus mengesahkan kejuaraan milik skuad Pep Guardiola itu.

Sane telah menjadi pemain penting, menyumbang sembilan gol dan membuat 12 bantuan jaringan dalam Liga Perdana, dan dia teruja memenangi gelaran liga pertama dalam kerjayanya selain Piala EFL yang dimenangi City pada Februari lalu.

"Ini satu perasaan luar biasa untuk menjadi juara dalam liga terbaik dunia," kata Sane kepada SID di Jerman.

"Sudah tentu, kami suka melakukannya dengan perlawanan kami sendiri tetapi kami tidak mahu mengeluh mengenai masa dengan gelaran seperti itu.

"Kami semua boleh berbangga dengan pencapaian kami."

Sane adalah salah seorang daripada tiga pemain City yang tersenarai dalam calon akhir Pemain Terbaik Tahunan PF, walaupun rakan sepasukan, Kevin De Bruyne dan David Silva, dianggap lebih layak memenangi anugerah itu, dengan Mohamed Salah dari Liverpool juga menjadi pilihan untuk gelaran tersebut.

"Menjadi calon adalah satu pengiktirafan bagus untuk prestasi saya musim ini," tambah Sane.

"David dan Kevin juga memainkan peranan yang hebat, sama seperti kebanyakan daripada kami."