Pemain sayap Manchester City, Leroy Sane, mengingatkan pengendali pasukan, Pep Guardiola, akan bakat yang dimilikinya selepas membantu The Citizens menewaskan West Bromwich Albion 2-1 dalam aksi Piala Carabao, awal pagi tadi.

Sane dilihat bergelut untuk menembusi kesebelasan utama pada musim ini sehingga pernah diletakkan selaku pemain sayap pertahanan ketika menentang Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, bintang muda Jerman itu masuk menggantikan Gabriel Jesus ketika menentang Liverpool sebelum menjaringkan dua gol untuk menewaskan The Kop 5-0 dan dia sekali lagi membuktikan kewibawaannya awal pagi tadi apabila sekali lagi menjaringkan dua gol buat City.

"Setiap pemain pasti mahu beraksi dalam kesebelasan utama. Saya rasa ia lebih bermotivasi untuk semua pemain membuktikan kepada jurulatih bahawa mereka mahu beraksi,” kata Sane.

"Kami mampu menjaringkan lebih banyak gol dalam babak pertama dan berpeluang untuk menjarakkan kedudukan.

“Separuh masa kedua menyaksikan lawan lebih banyak bermain hantaran jauh dan kami bernasib baik mereka tidak dapat menjaringkan gol di saat akhir.”

"Setiap pemain mahu memenangi semua kejuaraan. Ia impian kami dan semua pemain perlukan motivasi sebegini untuk memenangi setiap perlawanan.

“Tidak kira dalam apa jua pertandingan, kami mahu memenanginya," tambahnya.