Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, menyifatkan pemain pertahanannya, Alex Sandro, sebagai pemain yang luar biasa dan tidak akan meninggalkan pasukannya pada musim panas ini.

Pada bulan lalu, ketua pengarah kelab, Giuseppe Marotta, mengesahkan Juventus telah menolak bidaan Chelsea bernilai EUR60 juta (RM303 juta) untuk mendapatkan pemain Brazil itu.

Chelsea yang dikendalikan oleh bekas pengurus Bianconeri, Antonio Conte, dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pertahanan kiri berusia 26 tahun itu yang berjaya membantu Allegri mengesahkan kejuaraan liga enam tahun berturut-turut pada musim lepas.

Bagaimanapun, Allegri mahu terus mengekalkan Sandro di Juve selepas Leonardo Bonucci melengkapkan perpindahan mengejut ke musuh tradisi, AC Milan.

“Alex Sandro? Dia adalah seorang pemain yang luar biasa dan tidak akan meninggalkan kami,” kata Allegri.

“Sandro telah menjadi semakin bagus sejak tiba di sini. Bersama Marcelo (pertahanan Real Madrid), dia adalah salah seorang pertahanan terbaik dunia,” katanya.

Juve telah mendominasi Serie A dalam tempoh yang lama, namun berdepan cabaran sukar menjelang saingan 2017/18 apabila pesaing-pesaing lain bekerja keras meningkatkan pasukan masing-masing.

“Musim akan datang pasti lebih sengit kerana pasukan lain telah meningkat naik.

“Musim lepas Roma meraih 87 mata, sekaligus memecahkan rekod mereka dan pastinya akan menjadi pesaing utama tetapi cabaran Napoli dan dua kelab Milan perlu diambil berat,” tambahnya.