PADERBORN 1 DORTMUND 6

Lucien Favre tidak sempat melihat Jadon Sancho mempamerkan tulisan 'keadilan buat George Floyd' ketika meraikan jaringannya dalam kemenangan 6-1 Borussia Dortmund ke atas Paderborn, awal pagi tadi.


Pemain antarabangsa England itu memaparkan tulisan di pakaian dalamnya yang tertera nama mangsa yang mati ketika dalam tahanan polis di Amerika Syarikat (AS) itu, yang telah mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh AS dan sekitarnya.

Pemain berusia 20 tahun itu kemudian dilayangkan kad kuning atas kesalahan menanggalkan jersinya ketika dalam permainan sewaktu meraikan gol pertama jaringan hatriknya dalam perlawanan Bundesliga awal pagi tadi.

Rakan sepasukannya, Achraf Hakimi, turut menunjukkan reaksi yang sama ketika pelawat membelasah pasukan tercorot itu.

"Saya tidak melihatnya," kata pengurus itu mengenai tindakan Sancho.

"Selepas perlawanan, saya mendapat tahu dia meraikan gol dengan cara itu. Ada sesuatu yang tertulis di atas bajunya.

"Apa yang boleh saya katakan? Saya tidak tahu mengapa dia melakukannya. Saya tidak melihatnya. Saya tidak dapat menilai kejadian itu."



Dortmund gagal merobek gawang tuan rumah dalam babak pertama sebelum Thorgan Hazard memecahkan kebuntuan perlawanan pada minit ke-54 untuk mereka menuju kemenangan bergaya itu.

Ia adalah tiga mata yang sangat diperlukan mereka berikutan kekalahan kepada Bayern Munich pertengahan minggu lalu, keputusan yang menyebabkan usaha mereka untuk merapatkan jurang dengan pendahulu dan juara bertahan itu semakin sukar.

Favre mendedahkan dia tidak bimbang dengan kegagalan pasukannya menyumbat gol sebelum rehat berikutan ketiadaan Erling Haaland, yang terlepas pertemuan itu ekoran kecederaan lutut.



"Saya hanya berpesan satu sahaja ketika rehat separuh masa: 'kita perlu terus melakukan apa yang kita lakukan', "katanya.

"Kami memberi tekanan dengan baik, kami membuatkan lawan lelah dan jelas mereka tidak akan dapat mempertahankan tempo permainan hingga ke wisel penamat.

"Kami cuma ingin memastikan mereka tidak dapat menghukum kami menerusi serangan balas memandangkan mereka memiliki keupayaan itu di bahagian serangan.

"Kami dapat mengekalkan keamatan yang kami tunjukkan dalam babak pertama dan satu-satunya rombakan ketara yang kami buat adalah mengenai perubahan daripada segi pergerakan pemain yang melebar."