Steffen Freund percaya Jadon Sancho cukup bagus untuk mewakili Liverpool mahupun Manchester United tetapi memberi amaran kepada pemain sayap itu bahawa dia berisiko mengikut jejak langkah Luka Jovic jika meninggalkan Borussia Dortmund terlalu cepat.

Produk akademi Manchester City itu dikaitkan dengan perpindahan kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah mencipta 40 gol dan bantuan jaringan buat Dortmund musim ini.

Bagaimanapun, bekas pemain tengah kelab itu, Freund, menjadikan pemain Real Madrid, Jovic, sebagai contoh mengenai bagaimana perpindahan dengan nilai tinggi pada usia muda mampu menjejaskan perkembangan pemain.

Jovic menyerlah di Jerman ketika bersama Eintracht Frankfurt musim lalu dengan reputasi 17 gol, namun pemain berusia 22 tahun itu hanya mampu meledak dua gol dalam kempen sulungnya di Madrid sehingga dikaitkan dengan perpindahan.

Justeru, Freund, yang menghabiskan lima tahun bersama Dortmund dari 1993, bimbang karier Sancho akan menempuhi detik serupa jika membuat pilihan yang salah dalam jendela perpindahan.

"Jadon mampu beraksi untuk Liverpool atau Manchester United, tiada keraguan mengenainya kerana statistiknya sukar dipercayai. Itu menunjukkan bahawa dia boleh mengambil langkah seterusnya," katanya kepada talkSPORT.





"Di Borussia Dortmund, di samping Erling Haaland dan Julian Brandt, dia akan bertambah baik.

"Selepas Emre Can ditandatangani, dengan rombakan meletakkan tiga pertahanan -- ia formasi yang sesuai dengan Sancho.

"Adalah lebih baik buatnya beraksi bersama Borussia Dortmund sehingga tahun depan agar dia daoat menikmati lebih banyak minit perlawanan.

"Dia baru berusia 20 tahun, jadi mengapa tidak terus beraksi bersama Borussia Dortmund? Kami tidak bercakap mengenai Freiburg atau Paderborn; kami bercakap mengenai Borussia Dortmund, salah satu daripada 20 kelab teratas di Eropah."

Tambahnya: "Ingatlah nasib yang menimpa Jovic, yang berpindah ke Real Madrid daripada Eintracht Frankfurt -- dia tidak dapat banyak peluang untuk beraksi. Sekiranya Real Madrid membuat tawaran, anda pasti berfikir bahawa 'saya harus pergi'.

"Tidak, Anda tidak harus pergi kerana gaji di Bundesliga juga di paras yang baik -- sekalipun tidak setinggi Real Madrid atau EPL.

"Tetapi anda masih dapat menjana wang dengan baik dan memperbaiki prestasi dengan tidak membuat banyak perpindahan lumayan dengan sekali gus.

"Jadi, untuk Jadon berpindah ke Manchester United bagi menggalas tekanan besar memandang mereka terpaksa berhempas pulas untuk lolos ke Liga Juara-Juara (UCL), mungkin adalah lebih baik dia kekal semusim lagi di Dortmund."