MANCHESTER UNITED 2 REAL MADRID 1

Alexis Sanchez meneruskan prestasi cemerlang dalam kempen pra-musim ketika Manchester United menundukkan Real Madrid 2-1 dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) sebentar tadi walaupun Vinicius Jr memberikan harapan baru buat Los Blancos yang masih terasa kesan perpindahan Cristiano Ronaldo ke Juventus.


Sanchez membuka tirai jaringan untuk gol keduanya dalam dua perlawanan dan membuka ruang buat Ander Herrera melebarkan kedudukan, yang membolehkan The Red Devils menamatkan aksi jelajah Amerika Syarikat dengan nota kemenangan di Miami.

Madrid turun buat pertama kali sejak Ronaldo meninggalkan juara Eropah itu untuk ke Itali tetapi Vinicius mencuri tumpuan dalam penampilan sulungnya di bawah kendalian jurulatih, Julen Lopetegui.

Selepas Madrid melengkapkan perpindahannya dari Flamengo bernilai EUR45 juta (RM212 juta), Vinicius membuktikan kemampuan sebenarnya walaupun baru berusia 18 tahun, memberikan harapan buat Real Madrid yang mendominasi hampir keseluruhan babak kedua setelah Karim Benzema merapatkan jurang gol.

Jose Mourinho dilihat tidak begitu gembira dengan aksi pra-musim, terutama isu melibatkan proses perpindahan pemain yang begitu perlahan serta ketiadaan barisan bintang dalam pasukannya sehingga menyebabkan United dibelasah Liverpool 4-1 minggu lalu, namun kali ini tetap menurunkan barisan terkuat yang mampu disediakan seperti David de Gea, Fred, Sanchez, Mata, Herrera, Eric Bailly dan Luke Shaw.

Buat kem Madrid, Vinicius dan Alvaro Odriozola meraih penampilan pertama sambil Benzema dan Gareth Bale turut mengisi kesebelasan utama, meninggalkan pemain utama lain seperti Toni Kroos, Isco dan Marco Asensio, di bangku simpanan.

United memulakan perlawanan dengan asakan seawal minit kelima apabila Sanchez membuka ruang buat Mata menerusi hantaran pendek tetapi percubaan jarak dekat pemain dari Sepanyol itu sekadar tepat ke penjaga gol.

Vinicius tampak memberikan banyak masalah buat benteng United yang dibarisi oleh tiga tonggak, Bailly, Timothy Fosu-Mensah serta Scott McTominay tetapi segala usaha Madrid sekadar sia-sia.

Sanchez memecahkan kebuntuan pada minit ke-18 untuk meraih jaringan kedua dalam dua perlawanan selepas Andreas Pereira melorongkan bola buat Matteo Darmian dan pemain bek dari Itali itu, yang mungkin meninggalkan United, melakukan hantaran leret untuk mudah disudahkan Sanchez.

United menggandakan kelebihan sembilan minit kemudian apabila Darmian, Mata dan Sanchez melengkapkan gerakan dari sebelah kanan untuk membolehkan Herrera melepaskan rembatan separa voli melepasi Kiko Casilla.

Bale dan Benzema dilihat bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik dan terpaksa menunggu sehingga selepas waktu rehat untuk menyempurnakan hantaran Theo Hernandez, menghukum kelekaan benteng United.

Dalam separuh masa kedua, ternyata United menampilkan persembahan berbeza berbanding babak pertama, bergelut untuk menyempurnakan setiap hantaran dan lebih banyak melepaskan bola untuk Madrid yang melakukan 11 pertukaran, termasuk membawa masuk Isco, Marco Asensio, Kroos dan Nacho Fernandez.

Penjaga gol muda dari Ukraine, Andriy Lunin, turut meraih penampilan pertama buat Madrid selepas pemain berusia 19 tahun itu melengkapkan perpindahan bernilai EUR14 juta (RM66 juta) tatkala pemain yang pernah digelar 'budak ajaib', Martin Odegaard, turut beraksi tetapi melepaskan peluang keemasan dengan rembatan melepasi palang gol.