Pertahanan Tottenham, Davinson Sanchez, akan terlepas aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Ajax awal pagi esok ekoran kecederaan paha.

Pemain kebangsaan Colombia itu mengalami kecederaan ketika Spurs tewas 1-0 kepada Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu, dan menyukarkan pengurus, Mauricio Pochettino, menyempurnakan misi untuk bangkit di ArenA Johan Cruijff.

Jan Vertonghen mengalami kecederaan hidung selepas bertembung dengan rakan sepasukan, Toby Alderweireld, dan penjaga gol Ajax, Andre Onana, di StadiumTottenham Hotspur minggu lalu.

Vertonghen akan terus dipantau sebelum perlawanan dan akan memakai pelindung muka jika dipilih beraksi.

"Vertonghen tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius," kata Pochettino.

"JIka dia dipilih beraksi, saya berasakan Vertonghen mampu memberikan persembahan terbaik untuk pasukan.

Spurs bakal menerima semula kehadiran Son Heung-min, yang diketepikan daripada perlawanan lalu kerana digantung perlawanan.

Penyerang Korea Selatan itu meledak tiga daripada empat gol Tottenham dalam suku akhir berdepan Manchester City.

"Ajax memiliki kelebihan daripada perlawanan pertama, kami akan berusaha untuk meraih kemenangan dalam perlawanan esok," kata penjaga gol Spurs, Hugo Lloris.

"Kami akan berusaha dan mencari jalan untuk mengatasi Ajax. Ia merupakan impian untuk kami melangkah ke final UCL."