Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menegaskan Alexis Sanchez mampu mencapai tahap terbaik dan memerlukan jaringan gol untuk mendapatkan keyakinannya.

Pemain kebangsaan Chile itu bergelut untuk mencapai tahap terbaik sejak berhijrah daripada Arsenal Januari lalu manakala kecederaan mengehadkan peluangnya untuk kekal dalam kesebelasan utama.

Sanchez hadir sebagai pemain gantian ketika berdepan Paris Saint-Germain (PSG) di Old Trafford tetapi gagal menyerlah ketika pasukan mengalami kekalahan 2-0, dan Solskjaer mencadangkan beliau tidak mampu untuk membantu penyerang itu.

Ketika Jesse Lingard dan Anthony Martial dijangka diketepikan selama tiga minggu, Sanchez mungkin akan beraksi berdepan Chelsea dalam saingan Piala FA dan pertembungan dengan Liverpool bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Solskjaer menegaskan pemain berusia 30 tahun itu masih mampu memahat sejarah bersama United serta mencadangkan apa yang diperlukan adalah keyakinan terhadap kemampuannya.

"Saya berasakan dia seorang pemain yang berkualiti," kata Solskjaer. "Dia seorang yang berbakat. Tetapi tiada apa yang dapat dilakukan jika anda hanya duduk dan bercakap.

"Anda melihat aksinya ketika bertemu Fulham, apabila mendapat peluang, dia memiliki keamatan yang tinggi. Merampas bola dan melakukan percubaan."

United menang 10 daripada 11 perlawanan di bawah kendalian Solskjaer sebelum tewas kepada PSG, menjadikan Piala FA sebagai peluang yang lebih realistik buat United mengakhiri musim ini dengan trofi.

Solskjaer berharap kebangkitan dapat dipamerkan di Stamford Bridge selepas mengakui pasukannya agak terkesan selepas tewas kepada juara Ligue 1 itu.

"Saya tidak akan bercakap ia adalah peluang terakhir kami meraih gelaran kerana kami akan berusaha dengan sebaik mungkin dalam aksi timbal balik. Tetapi peluang ke pusingan seterusnya makin tipis.

"Semua pemain mahu beraksi dalam final Piala FA. Ia merupakan salah satu kenangan terbaik ketika menewaskan Newcastle United (1999).

"Kami memerlukan semua pemain mempamerkan persembahan terbaik. Kami akan mencabar untuk mengakhiri saingan dalam kelompok empat terbaik."