Alexis Sanchez mahu rakan sepasukan Manchester United dan penyerang Belgium, Romelu Lukaku, memenangi Kasut Emas dalam Piala Dunia.

Lukaku melakukan permulaan cemerlang di Russia, dengan menjaringkan dua gol ketika berdepan Panama dan Tunisia sebelum direhatkan dalam perlawanan terakhir Kumpulan G bertemu England.

Pemain berusia 25 tahun itu kini ketinggalan di belakang penyerang England, Harry Kane (lima gol) dalam perebutan Kasut Emas.

Sanchez, yang gagal membantu Chile layak ke Russia 2018, berharap Lukaku menamatkan kejohanan ini sebagai penjaring terbanyak.

"Lukaku beraksi dengan cemerlang dan berada di tahap terbaik. Kini dia telah meledak empat gol," katanya.

"Saya berharap dia akan menjadi penjaring terbanyak Piala Dunia kali ini."

Belgium akan meneruskan saingan peringkat kalah mati Piala Dunia berdepan Jepun di Rostov-on-Don, Isnin ini.