Alexis Sanchez berkata keputusannya meninggalkan Manchester United untuk bersama Inter Milan membenarkannya untuk kembali jatuh cinta dengan bola sepak.

Penyerang itu hanya menjaringkan tiga gol sepanjang 32 penampilan Liga Perdana Inggeris selepas menyertai United daripada Arsenal tahun lalu.

Pemain kebangsaan Chile itu menamatkan temoh hambarnya di Old Trafford selepas dibenarkan untuk menyertai Inter secara pinjaman jangka panjang.

Dia melakukan penampilan pertama dalam barisan permulaan Nerazzurri ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas Sampdoria dalam perlawanan Serie A kelmarin, sebelum diperintahkan keluar padang gara-gara dua layangan kad kuning.

Sanchez kembali menyertai seorang lagi penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, di San Siro dan berasakan ketua jurulatih barunya, Antonio Conte, telah membantunya untuk menyesuaikan diri di Milan.

"Saya seperti jatuh cinta semula dengan bola sepak," katanya kepada UEFA.com.

"Saya sudah mengenali jurulatih dan beberapa pemain dan saya fikir pasukan ini sedang merancang sesuatu yang baik untuk masa akan datang.

"Kalau tidak silap saya, Inter tidak memenangi apa-apa sepanjang tujuh atau lapan tahun lalu.

"Benar, saya seakan-akan sedang mencari cinta semula dalam bola sepak, disertakan dengan keinginan untuk memenangi sesuatu bersama kelab ini.

"Saya percaya jurulatih kami mahu memenangi segala-galanya.

"Anda dapat melihatnya melalui caranya melatih kami dan bagaimana aksi kami di atas padang.

"Dia meyakinkan keinginannya itu buat semua pemain dan ia sesuatu yang positif untuk kelab dan pasukan ini secara keseluruhannya," katanya.

Minggu ini, Sanchez akan bertemu bekas pasukannya, Barcelona, dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di Camp Nou.

Inter hanya mampu seri dengan Slavia Prague dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F di laman sendiri manakala Barca terikat dengan Borussia Dortmund di gelanggang lawan.

"Ketika saya tiba di sana, terdapat laporan mengatakan ia pasukan terbaik sepanjang sejarah Barcelona," tambah Sanchez, yang menjuarai LaLiga musim 2012-13.

"Terdapat (Pep) Guardiola, (Lionel) Messi, Xavi, (Andres) Iniesta dan (Carles) Puyol, kapten terbaik yang pernah saya kenali sepanjang karier.

"Ia amat hebat, Barcelona mengajar saya gaya permainan berbeza berdasarkan penguasaan bola.

"Ditambah saya memiliki rakan sepasukan untuk menghantar bola kepada mereka kerana saya tahu mereka mampu menghantar semula kepada saya dengan sempurna.

"Jika anda dapat berlatih dengan pemain yang bagus, anda akan meningkat.

"Saya cuba meningkatkan diri saya setiap hari dan ia membantu saya untuk berkembang sebagai seorang pemain.

"Di Barcelona, saya mempelajari banyak perkara untuk terus berkembang.

"Terdapat pemain yang hebat di sana yang telah memenangi Piala Dunia dan mereka membenarkan saya untuk terus meningkat setiap hari, termasuk daripada segi fizikal," katanya lagi.