Renato Sanches meluahkan perasaannya yang tidak gembira berada di Bayern Munich dan bercadang untuk meninggalkan kelab itu.

Sanches menyertai Bayern pada 2016 selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama Benfica dan membantu Portugal memenangi Euro 2016 dalam tahun yang sama.

Bayern membayar EURO35 juta (RM162 juta) dengan meletakkan harapan yang tinggi kepada pemain itu, namun dia bergelut sebelum dipinjamkan ke Swansea City untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.

Di Swansea, Sanches gagal menemui sentuhan terbaiknya walaupun pengurus Bayern, Niko Kovac, kekal optimis dengan masa depan pemain kebangsaan Portugal itu yang kembali bersama pasukan pada permulaan musim tetapi segalanya tidak seperti apa yang dirancang.

Pemain berusia 21 tahun itu hanya tampil empat kali dalam kesebelasan utama bagi saingan Bundesliga dan kini mahu mencari jalan keluar meninggalkan kelab itu.

"Saya tidak gembira di sini. Saya telah berusaha tetapi tidak dibenarkan beraki," kata Sanches. "Saya mahu bermain lebih lagi, mungkin menyertai kelab lain akan memberikan peluang kepada saya."