Jurulatih Argentina yang baru dilantik, Jorge Sampaoli, menyifatkan Lionel Messi seseorang yang menyeronokkan dalam usahanya untuk membina skuad Argentina melalui penyerang itu.

Sampaoli diperkenalkan sebagai ketua jurulatih pada Khamis selepas menandatangani kontrak sehingga Piala Dunia 2022 di Qatar.

Ujian pertama yang bakal dihadapinya adalah memastikan pasukannya layak ke Piala Dunia 2019 di Russia.

Argentina kini menduduki tangga kelima dalam carta kelayakan zon Amerika Selatan di belakang Brazil, Colombia, Uruguay, dan Chile.

“Saya perlu bertemu Messi dan memastikan pemain terbaik dunia berasa gembira berada di sini.

“Apa yang penting adalah Messi memiliki kelompok pemain yang hebat dan dia sangat gembira,” kata Sampaoli.

Antara nama yang menarik perhatian ramai dalam pemilihan Sampaoli menjelang perlawanan persahabatan menentang Brazil dan Singapura pada bulan ini adalah penyerang Inter Milan, Mauro Icardi.

Penyerang berusia 24 tahun itu hanya memiliki satu penampilan bersama skuad Argentina, iaitu pada tahun 2013.

“Pemilihan Icardi adalah berdasarkan prestasinya bersama pasukan kelabnya,” kata Sampaoli.

Argentina bakal bertemu Brazil pada 9 Jun sebelum menentang Singapura empat hari kemudian dalam siri perlawanan persahabatan.