Jorge Sampaoli berharap menyaksikan aksi pertahanan cemerlang daripada Argentina apabila dia bersedia menghantar barisan lebih menyerang dalam perlawanan persahabatan menentang Singapura di Stadium Nasional, malam ini.

Bercakap dalam sidang media pra-perlawanan, Sampaoli membincangkan spekulasi mengenai sistem unik 2-3-4-1 yang bakal digunakan di Kallang, dengan hanya bek tengah, Federico Fazio dan Emanuel Mammana, disenaraikan di bahagian pertahanan dalam kesebelasan utama.

Argentina memenangi perlawanan pertama mereka di bawah kendalian bekas pengurus Sevilla itu apabila mengalahkan Brazil 1-0 di Gelanggang Kriket Melbourne dan Sampaoli berharap sususan posisi luar biasanya menentang skuad V. Sundramoorthy dapat disesuaikan oleh skuad.

"Ada kemungkinan dua pemain pertahanan tengah dengan seorang pembantu," katanya. "Pertahanan pasukan adalah 10 pemain, sama seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan menentang Brazil.

"Apa yang kami cari dalam perlawanan ini adalah pembangunan organisasi pertahanan, yang mempunyai banyak kaitan dengan tekanan untuk mendapatkan semula bola dengan segera.

"Dalam perlawanan menentang Singapura, apa yang boleh kami lakukan adalah sangat agresif bertahan dengan 10 pemain di atas padang."

Sementara itu, ramai peminat di Singapura kecewa bintang Barcelona, ​​Lionel Messi, akan terlepas perlawanan itu kerana dia direhatkan bersama penyerang Juventus, Gonzalo Higuain, dan pertahanan Manchester City, Nicholas Otamendi.

Walaupun laporan di Sepanyol mengatakan Messi hampir memuktamadkan perjanjian baru lumayan di Barcelona, ​​Sampaoli menegaskan ketiadaan kapten itu adalah semata-mata untuk mengelakkan risiko kecederaan pada akhir musim.

"Mereka mempunyai musim yang panjang dan bermain banyak perlawanan, jadi kami berasakan melepaskan mereka dalam perlawanan ini adalah terbaik kerana ia akan memberi risiko kecederaan untuk mereka bermain esok," katanya.

"Tetapi kami mempunyai ramai penyerang dan ini bermakna kami boleh melakukan eksperimen menentang Singapura. Kami mempunyai ramai pemain serangan dan saya juga ingin tahu sejauh mana mereka boleh bermain di bahagian pertahanan.

"Ia adalah penting untuk mengetahui semangat mereka dalam usaha memenangi bola apabila kami hilang penguasaan. Ia mengenai perkembangan idea kami untuk setiap kedudukan pada masa akan datang."

Pemain tengah Lazio, Lucas Biglia, akan menerima tugas selaku kapten Argentina dalam ketiadaan Messi dan Javier Mascherano.